Friday, May 16, 2008

Keyakinan Emosi - Strategi Ke Arah Memberbaiki Kualiti Diri

Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dengan para pembaca mengenai satu lagi aspek dalam emosi iaitu "Keyakinan Emosi" (Emotional Confidence).

Mengikut Gael Lindenfield, 1997 dalam bukunya "Emotional Confidence" keyakinan emosi bermaksud ……"satu keadaan dimana kita dapat menaruh kepercayaan terhadap kebolehan diri kita untuk mengawal perasaan….". Ianya juga merupakan salah satu komponen dalam konsep keyakinan diri (self-confidence).

Dalam ertikata yang mudah aspek keyakinan emosi ini memberi penekanan bahawa segala bentuk idea yang lahir dalam jiwa kita akan terlaksana untuk dihasilkan sekiranya kita yakin pada apa yang kita fikirkan itu tanpa dipengaruhi oleh apa-apa unsur yang boleh melemahkan tindakan kita.

Dalam kehidupan manusia seharian perkara seumpama ini selalu berlaku pada diri kita. Bagi golongan pelajar kurang keyakinan dalam emosi mengakibatkan mudah rasa bosan dan mudah mengalah. Bagi golongan usahawan, pekerja, pegawai dan para pemimpin kurangnya keyakinan emosi ini akan menyebabkan kurangnya minat dan keberanian untuk mengambil risiko, membuat keputusan atau meyampaikan pendapat serta membuat satu anjakan paradigma dalam bidang yang diceburinya.

Seseorang yang mempunyai keyakinan emosi dapat memperlihatkan ciri-ciri berikut:-

Mengalami pelbagai jenis emosi dari suasana yang menyedihkan sehinggalah ke satu keadaan yang gembira tanpa membiarkan suasana tersebut mempengaruhi kehidupan dan tindakannya.

Dapat memahami keadaan yang berlaku serta pertaliannya dengan perasaan yang dialami.

Tidak mudah menyalahkan diri sendiri dan meyerah kalah tetapi memberi harapan ke arah meneruskan segala apa yang dicitakan.

Dapat bertindakbalas dengan seseorang dengan mengambil kira sensitiviti dan emosi yang dihadapi.

Kenapa pentingnya keyakinan emosi ini pada diri seseorang. Kelebihan yang akan dinikmati oleh seseorang yang mempunyai keyakinan emosi diantara lain ialah:-

  • Meningkatkan rasa hormat pada diri sendiri (self-respect) serta meningkatkan identiti keperibadian (personal identity) agar sebarang reaksi dan tindakan yang dilakukan berjalan dengan lebih konsisten.

  • Dapat menggunakan daya pemikiran dengan lebih kritis, kreatif dan inovatif serta dapat membuat keputusan yang baik tanpa dipengaruhi perasaan yang melulu yang boleh menjejas keputusan atau tindakan tersebut.

  • Berani mengambil risiko, dapat berdikari dalam sesuatu pekerjaan dengan jayanya.

  • Lebih bersifat penyayang, dihormati serta berada dalam keadaan kesihatan yang baik tanpa ada apa-apa tekanan.

  • Bagaimanakah caranya seseorang itu dapat mewujud atau meningkatkan lagi aras " Keyakinan Emosi" pada dirinya? Persoalan ini amatlah penting dan akan diperbincangkan pada penulisan saya pada keluaran yang akan datang.

Sumber: -

1 comments:

dieyba said...

keyakinan emosi adalah kunci kepada kekuatan dalaman dan luaran,bagi membentuk kekuatan emosi yang baik maka segala ujian yang datang menempa kita perlu hadapinya dengan tenang.