17 August 2005
“Apabila kita melihat masalah sebagai kesempatan membangunkan diri, kita berfikiran positif.”
AKHLAK YANG MULIA melahirkan sikap positif. Antara sikap yang perlu kita miliki dalam kehidupan hari ini adalah sabar dan cekal. Kesabaran dalam Islam mempunyai hubung kait dengan Tuhan. Umat Islam dididik untuk memahami kesabaran adalah sebahagian daripada iman. Justeru, ke-sabaran mempunyai keuntungan dan kebaikannya di sisi Tuhan. Apabila umat Islam bersabar semasa menerima musibah, mereka menyedari bahawa kesabaran itu adalah jambatan bagi mendapat pertolongan Ilahi. Di samping itu, ganjaran yang besar sedang menanti mereka.
Dalam surah al-Baqarah ayat 155, Tuhan menjanjikan, “Berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar.” Ini bermaksud kesabaran ada khabar gembira dan ada keuntungannya. Jaminan seperti ini sudah pasti melahirkan optimisme di hati orang yang diuji. Optimisme ini melahirkan usaha dan amal. Semua ini dilakukan dengan ketabahan dan kecekalan. Justeru, dalam Islam kesabaran tidak dapat dipisahkan daripada optimisme dan sikap positif. Semua ini lahir kerana keimanan dan keyakinan kepada Tuhan.
Tiga Bahagian Sabar
Sabar bukan bermaksud menerima sahaja keadaan serta menanti perubahan tanpa usaha. Sebaliknya, umat Islam disuruh bersabar dan serentak dengan itu melakukan amal serta usaha. Justeru, Tuhan menyuruh umat Islam men-contohi kesabaran rasul-rasul ulul azmi.
Tuhan menyatakan dalam surah al-Ahqaf ayat 35 yang bermaksud, “Bersabarlah sebagaimana bersabarnya rasul-rasul ulul azmi.” Rasul-rasul yang dimuliakan Tuhan ini adalah Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad. Mereka beramal serta berusaha dengan bersungguh-sungguh di samping bersabar. Sebagai contoh, Nabi Nuh membina bahtera, Nabi Ibrahim memecahkan berhala dan berdakwah kepada Namrud, Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan membawa Bani Israel keluar dari Mesir. Demikian juga dengan Nabi Isa dan Muhammad.
Di dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa disebutkan, sabar mempunyai tiga bahagian. Pertama, sabar dalam meninggalkan maksiat. Kedua, sabar dalam melakukan ibadah. Ketiga, sabar apabila ditimpa ujian dan musibah.
Quran menceritakan berkenaan Nabi Yusuf yang sabar semasa diuji untuk melakukan maksiat. Pada suatu masa, Zulaikha menggoda beliau. Tetapi Nabi Yusuf berjaya melarikan diri daripadanya. Walau bagaimanapun, Zulaikha mengejar beliau dan menarik bajunya sehingga koyak. Akhirnya, mereka terserempak dengan suami Zulaikha. Pada masa itulah Nabi Yusuf difitnah dan kemudiannya dipenjarakan walaupun beliau sebenarnya tidak bersalah.
Tuhan menceritakan dalam surah Yusuf ayat 26 hingga 28 yang bermaksud, “Yusuf berkata (kepada suami Zulaikha), ‘Dia menggodaku untuk dirinya', dan seorang saksi dari keluarga wanita itu telah memberikan penyaksiannya, ‘Jika bajunya koyak dari hadapan maka wanita itu benar dan Yusuf adalah pendusta. Dan jika baju itu koyak dari belakang maka wanita itulah yang dusta dan Yusuf adalah seorang yang benar’. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju Yusuf terkoyak dari belakang berkatalah ia (kepada isterinya), ‘Sesungguhnya ini adalah antara tipu dayamu, sesungguhnya tipu dayamu adalah besar’.” Nabi Yusuf mampu menolak godaan Zulaikha kerana iman yang bersinar di hati.
Dalam konteks ibadah, sahabat-sahabat nabi adalah golongan yang amat tinggi kesabarannya demi melakukan ibadah. Selepas hijrah, umat Islam diwajibkan berperang demi menegakkan kebenaran. Semasa sedang berperang, mereka tetap disuruh menegakkan sembahyang fardu tanpa pengecualian. Walaupun Tuhan memberikan beberapa kelonggaran kepada mereka berkenaan cara sembahyang pada masa itu, namun pelaksanaan sembahyang tetap diwajibkan.
Tuhan menyatakan dalam surah an-Nisak ayat 101 yang bermaksud, “Dan apabila kamu berpergian di muka bumi maka tidaklah mengapa jika kamu qasarkan (iaitu memendekkan) sembahyang itu, jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.” Sikap sabar seumpama ini tidak mung-kin wujud tanpa iman yang mendalam.
Musibah dan Sikap yang Betul
Umat Islam menyedari sejak awal lagi, dunia adalah tempat ujian dan tribulasi. Syurga adalah tempat kesenangan yang abadi. Justeru, umat Islam bersedia untuk bersabar dengan segala ujian di dunia. Pada masa yang sama, mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai matlamat. Tuhan memberitahu dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami pasti mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar.”
Walau bagaimanapun, ujian yang menimpa ini tidak berterusan selama-lamanya. Ia hanyalah satu proses pen-didikan dan pembangunan diri yang diperlukan sebelum kejayaan dan kemenangan dicapai. Inilah yang dijanjikan Tuhan dalam surah as-Syarh ayat 5 hingga 6 yang bermaksud, “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan.” Hal ini diperkukuhkan lagi melalui kata-kata nabi yang dilaporkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud, “Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusahan dan sesungguhnya berserta dengan kepayahan adalah kesenangan.”
Selain itu, ujian menggugurkan dosa. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi berkata, “Tidak ada satu pun musibah yang menimpa ke atas Muslim, sama ada kepenatan, sakit yang kronik, kerisauan, kesedihan, sebarang kesakitan dan kemurungan, sehingga duri yang terkena di badannya, melainkan ia akan menjadi kifarat baginya dari dosa-dosa.”
Oleh sebab itu, bukanlah perkara pelik apabila umat Islam berterima kasih serta bersyukur kepada Tuhan apabila ujian menimpa mereka. Berhubung dengan ini, Omar bin Khattab pernah berkata, “Apabila aku mendapat ujian duniawi, aku bersyukur kerana terdapat padanya empat nikmat. Pertama, ujian itu tidak berkaitan dengan agama. Kedua, ia tidak begitu besar berbanding ujian agama. Ketiga, aku akan mendapat keredhaannya dengan ujian itu dan keempat aku mengharapkan pahala daripadanya.” Inilah fikiran positif yang sepatutnya dicontohi.
Golongan yang Menakjubkan
Golongan yang menakjubkan ini adalah orang yang beriman. Nabi menggelar mereka sebagai golongan yang menakjubkan kerana sikap mereka yang positif dalam semua keadaan. Dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Imam Muslim, nabi berkata, “Keadaan orang mukmin amat menakjubkan kerana segala keadaan yang dihadapinya menjadi baik baginya. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur dan itu adalah baik baginya. Sebaliknya, jika dia menghadapi kesusahan dia bersabar dan itu adalah baik baginya.”
Contoh terbaik adalah nabi dan para sahabat semasa mereka berjuang menyebarkan dakwah di Mekah. Antara mereka yang paling awal memeluk Islam adalah Siti Khadijah, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah, Abu Bakar bin Quhafah, Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf dan Saad bin Abi Waqqas. Semasa jumlah umat Islam mencecah tiga puluh orang, nabi menjadikan rumah sahabat Arqam bin Abi Arqam sebagai markas bagi memudahkan beliau menyampaikan nasihat dan pengajaran kepada para sahabat.
Di Mekah, nabi dan sahabat-sahabat Muhajirin ditindas dan diseksa selama 13 tahun. Pada masa itu, mereka di-hadapkan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Nabi pernah dicekik oleh Aqabah bin Abi Muit semasa beliau sedang bersembahyang di hadapan Kaabah, sebelum Abu Bakar datang menyelamatkan beliau. Pada waktu yang lain, Aqabah bin Abi Muit membawa najis-najis daripada bi-natang sembelihan dan dilemparkan najis-najis itu di belakang nabi semasa beliau sedang sujud. Tambahan daripada itu, ke mana sahaja beliau pergi beliau dilontarkan dengan maki hamun serta caci nista oleh kafir Quraisy.
Sahabat-sahabat nabi juga terpaksa berdepan dengan ujian yang sama. Contohnya, Bilal diseksa oleh tuannya yang bernama Umayyah bin Khalaf, dengan meletakkan batu besar di atas dada dan membiarkan Bilal berbaring di tengah panas terik. Bani Mahzum pula menyeksa keluarga Yasir sehingga akhirnya Yasir dan isterinya, Sumayyah, me-ninggal dunia. Uthman bin Affan pula pernah diikat oleh bapa saudara beliau yang bernama Hakam bin Abil As bin Umayyah selama beberapa hari selepas beliau memeluk Islam.
Lebih daripada itu, bermula dari bulan Muharam tahun ke-7 hingga tahun ke-10 selepas kebangkitan nabi, golongan kafir Quraisy memulau ekonomi ke atas umat Islam dan Bani Hasyim. Pada masa itu, mereka tidak boleh berjual beli dengan orang lain. Justeru, makanan asasi mereka pada masa itu adalah daun-daun kayu yang terdapat di sekeliling mereka. Kisah-kisah ini dilaporkan di dalam Seerah Ibn Hisyam.
Berdepan dengan pelbagai rintangan ini, umat Islam terus bersabar dan beramal dengan keyakinan bahawa Tuhan akan memberikan pertolongan kepada mereka. Pertolongan ini akhirnya datang dalam bentuk hijrah dari Mekah ke Madinah. Kesan daripada hijrah ini, tertegaklah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh nabi. Negara ini kemudiannya berjaya menguasai Mekah dan meruntuhkan empayar Rom dan Parsi. Di atas keruntuhan itu, lahirlah empayar Islam yang dikagumi hingga ke hari ini. Pada saat kemenangan dan kejayaan, umat Islam tidak pernah melupakan Tuhan. Mereka sentiasa bersyukur kepadanya. Mereka berjaya mengukir sejarah yang gilang-gemilang ini kerana iman dan sikap yang betul dalam semua keadaan.
Fikiran Positif dari Penjuru Taif
Semasa Islam ditentang dengan kerasnya di Mekah, pada akhir bulan Syawal tahun ke-10 selepas kebangkitan nabi (mengikut Abu Zahrah di dalam Khatimun Nabiyyin), nabi bertolak menuju ke Taif bertujuan menyebarkan Islam di sana. Beliau ditemani oleh sahabat Zaid bin Harithah.
Setibanya beliau di Taif, beliau menemui pemuka-pemuka Taif terlebih dahulu dan mengajak mereka kepada Islam. Sambutan masyarakat Taif terhadap seruan nabi amat dingin. Hamba-hamba sahaya serta kanak-kanak dari kalangan Bani Thaqif melempari beliau dengan batu sehingga berdarah kepala serta kedua belah kakinya. Nabi pun mengundurkan diri dan berehat di bawah sebuah pohon yang rendang dan terus bermunajat kepada Tuhan. Antara isi munajat beliau adalah, “Jika Engkau tidak murka ke atasku aku tidak mempedulikan apa yang telah berlaku.”
Imam Muslim, pada masa itu datanglah malaikat penjaga gunung meminta izin kepada beliau untuk menimpakan gunung Taif ke atas mereka. Hasrat malaikat gunung ini dilarang oleh nabi. Sebaliknya beliau berkata, “Aku mengharapkan Allah akan membangkitkan dari kalangan mereka satu generasi yang akan menyembah Allah dan tidak menyekutukan apa-apa pun dengannya.”
Inilah kesabaran dan fikiran positif yang tidak ada tolok bandingannya. Beliau mendapat kesempatan membalas den-dam ke atas Bani Thaqif, namun beliau bersabar dan tidak berputus asa. Lebih daripada itu, beliau yakin bahawa masa depan mereka masih cerah. Tidak mustahil pada suatu hari nanti generasi muda dari kalangan mereka akan memeluk agama Islam.
Tidak Mengenal Putus Asa
Semasa saya menulis topik ini, jemaah-jemaah haji baru saja selesai melaksanakan ibadah haji di Mekah. Jemaah-jemaah ini sudah pasti mengenali Siti Hajar kerana apabila mereka melakukan sai dari Safa ke Marwah, mereka sebenarnya sedang mencontohi beliau. Siti Hajar adalah isteri Nabi Ibrahim yang cekal.
Suatu ketika dahulu, oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, beliau dan anaknya Ismail ditinggalkan di sebuah kawasan kering kontang tanpa manusia. Tempat itu adalah Mekah. Siti Hajar tidak mengeluh dan menyalahkan takdir. Sebaliknya, beliau bangun dan berlari-lari antara Safa dan Marwah bagi mendapatkan makanan dan pertolongan. Namun usaha itu tidak mendatangkan sebarang hasil. Akhirnya, datanglah pertolongan daripada Tuhan.
Dari celah bumi yang kering kontang itu, terbitlah air yang mengalir hingga hari ini. Air itu adalah air zamzam. Ia mengalir dengan penuh keberkatan sehingga kawasan yang tandus tanpa penghuni itu bertukar menjadi kawasan yang subur yang menjadi tumpuan manusia. Semua ini terhasil berkat kesabaran dan kecekalan Siti Hajar yang tidak mengenal putus asa. Beliau berusaha dan terus berusaha tanpa jemu dan bosan sehingga dikurniakan kejayaan.
Pada hari ini, apabila umat Islam melakukan sai dari Safa ke Marwah pada musim haji, mereka sebenarnya sedang diingatkan berkenaan dengan kecekalan Siti Hajar. Dalam kamus kehidupan beliau tidak terdapat kalimat putus asa. Tuhan menyatakan dalam surah al-Hijr ayat 56 yang bermaksud, “Ibrahim berkata, ‘Tidaklah berputus asa dari-pada rahmat Allah melainkan golongan yang sesat sahaja’.”
Fisiologi Sabar dan Fikiran Positif
Kajian yang dilakukan di Harvard School of Public Health and the Department of Veterans Affairs menunjukkan, golongan tua yang optimis mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung koronari. Penemuan ini dimuatkan di dalam majalah Psychosomatic Medicine bagi edisi November / Disember, 2001.
Satu kajian yang dilakukan oleh Brigham and Women's Hospital dan Harvard Medical School mendapati, mereka yang optimis mempunyai kehidupan yang lebih sihat lagi ceria. Para saintis merumuskan, hal ini mungkin disebabkan oleh sistem pertahanan badan yang menjadi semakin baik yang dirangsang oleh fikiran positif. Penemuan ini diterbitkan oleh majalah American Psychological Association's Journal of Personality and Social Psychology pada tahun 2002.
Fikiran negatif memberi impak negatif dalam kehidupan. Mengikut satu kajian, pelajar-pelajar dari Harvard yang bersikap pesimistik semasa diwawancara pada tahun 1946 didapati menghadapi pelbagai masalah kesihatan semasa mereka diwawancara semula pada tahun 1980. Kajian juga menunjukkan pelajar-pelajar dari Virginia Tech yang bersikap pesimistik sering kali menghidap penyakit selesema, sakit kerongkong dan demam influenza. Hal ini disebutkan di dalam Psychology Today (Online) pada bulan Julai, 1992.
Mereka yang berfikiran negatif sering dihinggapi tekanan atau stres. Dr. Catherine Stoney dari Universiti Ohio melaporkan, tekanan jangka panjang menyebabkan paras lemak meningkat dalam darah. Lebihan lemak ini menyempitkan pembuluh darah. Apabila ini berlaku dalam pembuluh darah koronari, serangan jantung akan berlaku.
Pengeluaran hormon kortisol meningkat pada waktu stres. Hormon ini menyebabkan tekanan darah meningkat. Apabila keadaan ini berterusan, individu itu boleh menghidap penyakit darah tinggi. Tekanan juga merangsang pengeluaran hormon adrenalin dan homosistina. Hormon adrenalin memudahkan proses pembekuan darah. Ini boleh menyebabkan serangan sakit jantung berlaku. Mengikut satu lagi kajian yang dilakukan di Universiti Duke, tekanan boleh menyebabkan pembuluh darah koronari menguncup dan hal ini meningkatkan risiko individu diserang sakit jantung koronari. Homosistina pula adalah asid amino yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung koronari. Justeru, peningkatannya semasa stres meningkatkan risiko diserang penyakit ini.
Web MD Health bertarikh 25 September 2000 melaporkan, mengikut beberapa kajian, mereka yang mengalami tekanan yang kronik mempunyai kadar sel putih yang rendah. Sel-sel putih adalah sebahagian daripada sistem pertahanan dalam darah. Penurunan kadarnya mendedahkan individu itu kepada infeksi kuman.
Nabi Yusuf yang Cekal
Nabi Yusuf adalah contoh yang baik bagi semua manusia. Semasa masih kecil, saudara-saudara beliau berdengki dengan beliau. Akhirnya, mereka bersepakat membuang beliau ke dalam sebuah telaga buruk.
Nabi Yusuf ditemui oleh sekumpulan ahli perniagaan. Mereka memungutnya dan menjualnya kepada Raja Mesir yang bernama Qithfir dengan harga yang murah. Tuhan menceritakan dalam surah Yusuf ayat 20 yang bermaksud, “Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah iaitu beberapa dirham sahaja dan mereka tidak tertarik hati kepadanya.”
Selepas beberapa lama hidup di istana raja, beliau difitnah dan dipenjarakan. Tuhan memberitahu dalam surah Yusuf ayat 35 yang bermaksud, “Kemudian timbul dalam fikiran mereka, setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka sepatutnya memenjarakannya hingga ke satu waktu tertentu.”
Semasa mengharungi ujian yang datangnya bertubi-tubi ini, beliau bersabar tanpa keluh kesah. Berkat kesabaran dan kecekalan itu akhirnya beliau dibebaskan dan menjadi Raja Mesir. Tuhan menyatakan dalam surah Yusuf ayat 56 yang bermaksud, “Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir. (Dia berkuasa penuh) untuk pergi ke mana yang dia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami limpahkan rahmat kepada sesiapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang melakukan kebaikan.” Memang benar. Tuhan tidak mensia-siakan kesabaran dan kecekalan manusia.
Mengikut kajian yang dilakukan oleh Carnegie Institute, “Dari kajian ke atas 10,000 orang, Carnegie Institute merumuskan, 15% kejayaan adalah berpunca daripada latihan teknikal. 85% ber-punca daripada personaliti. Aspek personaliti yang paling penting untuk kejayaan adalah sikap.”
sumber : www.pts.com.my
Monday, May 19, 2008
Cemerlang dengan Sabar dan Sikap Positif
Posted by usah-jemu-menuntut-ilmu at 12:32 PM 4 comments
Friday, May 16, 2008
Keyakinan Emosi - Strategi Ke Arah Memberbaiki Kualiti Diri
Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dengan para pembaca mengenai satu lagi aspek dalam emosi iaitu "Keyakinan Emosi" (Emotional Confidence).
Mengikut Gael Lindenfield, 1997 dalam bukunya "Emotional Confidence" keyakinan emosi bermaksud ……"satu keadaan dimana kita dapat menaruh kepercayaan terhadap kebolehan diri kita untuk mengawal perasaan….". Ianya juga merupakan salah satu komponen dalam konsep keyakinan diri (self-confidence).
Dalam ertikata yang mudah aspek keyakinan emosi ini memberi penekanan bahawa segala bentuk idea yang lahir dalam jiwa kita akan terlaksana untuk dihasilkan sekiranya kita yakin pada apa yang kita fikirkan itu tanpa dipengaruhi oleh apa-apa unsur yang boleh melemahkan tindakan kita.
Dalam kehidupan manusia seharian perkara seumpama ini selalu berlaku pada diri kita. Bagi golongan pelajar kurang keyakinan dalam emosi mengakibatkan mudah rasa bosan dan mudah mengalah. Bagi golongan usahawan, pekerja, pegawai dan para pemimpin kurangnya keyakinan emosi ini akan menyebabkan kurangnya minat dan keberanian untuk mengambil risiko, membuat keputusan atau meyampaikan pendapat serta membuat satu anjakan paradigma dalam bidang yang diceburinya.
Seseorang yang mempunyai keyakinan emosi dapat memperlihatkan ciri-ciri berikut:-
Mengalami pelbagai jenis emosi dari suasana yang menyedihkan sehinggalah ke satu keadaan yang gembira tanpa membiarkan suasana tersebut mempengaruhi kehidupan dan tindakannya.
Dapat memahami keadaan yang berlaku serta pertaliannya dengan perasaan yang dialami.
Tidak mudah menyalahkan diri sendiri dan meyerah kalah tetapi memberi harapan ke arah meneruskan segala apa yang dicitakan.
Dapat bertindakbalas dengan seseorang dengan mengambil kira sensitiviti dan emosi yang dihadapi.
Kenapa pentingnya keyakinan emosi ini pada diri seseorang. Kelebihan yang akan dinikmati oleh seseorang yang mempunyai keyakinan emosi diantara lain ialah:-
- Meningkatkan rasa hormat pada diri sendiri (self-respect) serta meningkatkan identiti keperibadian (personal identity) agar sebarang reaksi dan tindakan yang dilakukan berjalan dengan lebih konsisten.
- Dapat menggunakan daya pemikiran dengan lebih kritis, kreatif dan inovatif serta dapat membuat keputusan yang baik tanpa dipengaruhi perasaan yang melulu yang boleh menjejas keputusan atau tindakan tersebut.
- Berani mengambil risiko, dapat berdikari dalam sesuatu pekerjaan dengan jayanya.
- Lebih bersifat penyayang, dihormati serta berada dalam keadaan kesihatan yang baik tanpa ada apa-apa tekanan.
- Bagaimanakah caranya seseorang itu dapat mewujud atau meningkatkan lagi aras " Keyakinan Emosi" pada dirinya? Persoalan ini amatlah penting dan akan diperbincangkan pada penulisan saya pada keluaran yang akan datang.
Sumber: -
Posted by usah-jemu-menuntut-ilmu at 1:10 AM 1 comments
Wednesday, May 14, 2008
Antara Termometer dan Termostat
30 May 2005
Dalam kehidupan, manusia dapat dibahagikan kepada dua. Pertama, golongan termometer iaitu alat pengukur suhu dan kedua golongan termostat iaitu alat pengatur suhu.
Kumpulan termometer hidup tanpa wawasan. Mereka hanya mengikut arus ataupun suhu yang ada. Mereka tidak mahu merancang mengubah apa-apa pun dalam hidup mereka seperti termometer.
Sebaliknya, golongan termostat berperanan menganalisis suasana dan apabila perlu mengubah arus ataupun suhu. Mereka merancang mencapai yang terbaik. Bagi tujuan itu, mereka sanggup membuat perubahan dalam hidup seperti termostat. Justeru, untuk berjaya jadilah seperti termostat. Jangan jadi seperti termometer.
Sejarah menunjukkan, umat Islam adalah golongan termostat yang mengagumkan. Mereka bukan sahaja mampu mengukur suhu, malah mereka juga mampu mengubah suhu mengikut acuan mereka. Acuan mereka adalah acuan yang ditetapkan Allah. Acuan ini berjaya melahirkan tamadun yang agung dan berjaya memberikan kebebasan dan kedamaian kepada semua bangsa dan agama.
Izinkan saya menukilkan pernyataan yang pernah dibuat oleh Dr. Robert Briffault. Saya nukilkan pernyataan ini berpandukan buku beliau yang bertajuk The Making Of Humanity yang dicetak semula oleh Islamic Book Foundation di Lahore, Pakistan pada tahun 1980.
Beliau berkata yang bermaksud, “Golongan Kristian me-nikmati kebebasan sepenuhnya pada zaman pemerintahan Islam di Sepanyol. Mereka mempunyai paderi kanan atau uskup dan beberapa biara. Rahib-rahib Kristian dapat dilihat berjalan-jalan di jalan-jalan di Cordova (tanpa gangguan)...
Golongan Yahudi juga menikmati konsep toleransi agama yang diamalkan di bawah pemerintahan Islam kesan daripada evolusi budaya yang berlaku. Konsep dan budaya ini kemudiannya mereka sebarkan di kawasan-kawan ceruk yang tidak mengenal erti tamadun...
(Tokoh barat, Roger Bacon, belajar bahasa Arab dan Sains Arab di Oxford). Roger Bacon bukan tokoh yang memperkenalkan konsep eksperimen dalam ilmu. Beliau hanyalah anak murid kepada Sains dan Metodologi Islam dan ilmu yang beliau perolehi ini kemudiannya beliau kembangkan di barat.
Beliau tidak pernah jemu untuk mengatakan bahawa bahasa Arab dan Sains Arab adalah satu-satunya pintu bagi mereka pada zamannya bagi mengenali ilmu yang hakiki... Sumbangan daripada tamadun Arab kepada dunia moden yang paling bermakna adalah sains.”
Saya bersetuju dengan pernyataan Dr. Robert Briffault ini. Walau bagaimanapun, saya berpendapat, sumbangan paling bermakna daripada Islam kepada dunia adalah sikap dan cara fikir yang betul. Tanpa kedua-dua ini, sains tidak meledak. Tanpa kedua-dua ini, tamadun tidak terbina.
Sikap dan cara fikir yang betul berjaya menghapuskan sistem perhambaan dan kasta sesama manusia. Ia juga berjaya menghapuskan kepercayaan tahayul dan khurafat dalam masyarakat. Ia juga berjaya merangsang umat Islam mendekati dan mengkaji alam. Dengan itu, lahirlah sains.
Namun, perkara paling penting adalah sains yang dihasilkan oleh umat Islam bertujuan mengagungkan Dia Yang Maha Pencipta, bukan sebaliknya. Justeru, umat Islam tidak pernah bakhil dengan penemuan mereka.
Barat, malah seluruh dunia dapat memanfaatkannya untuk kebaikan bersama. Sayang sekali, terdapat ramai kalangan di barat yang tidak berterima kasih kepada Islam. Malah lebih dahsyat lagi, mereka cuba pesongkan hakikat kebenaran yang berkaitan dengan Islam.
Dipetik daripada: Tulisan Dr Danial Zainal Abidin
Sumber: www.pts.com.my
Posted by usah-jemu-menuntut-ilmu at 11:33 PM 0 comments
Salah atau Betul
Ramai orang beranggapan apa yang betul dan apa yg salah adalah dua perkara yg saling bertentangan. Mereka percaya kalau sesuatu itu betul, ia tidak mungkin salah. Mereka juga percaya perkara-perkara yg dilakukan dgn betul menghasilkan kejayaan, manakala kesilapan menghasilkan kegagalan. Oleh itu kehidupan ini menyediakan pelbagai ganjaran untuk apa-apa yg betul, dan menyediakan pelbagai hukuman bg kesilapan dan kesalahan.
Orang juga percaya bahawa kejayaan dan kegagalan adalah dua perkara yg saling bertentangan - sesuatu kejayaan tidak mungkin berupa kegagalan, manakala sesuatu kegagalan tidak mungkin merupakan kejayaan. Dalam erti kata lain, mana mungkin orang yg gagal dianggap orang yg berjaya. Begitu juga dikatakan, sesuatu yg betul tidak mungkin dapat diterima sebagai salah. Benarkah begitu?
Sebenarnya, baik kejayaan mahupun kegagalan, kedua-duanya tidak saling bertentangan, disebabkan kedua-duanya adalah dua aspek proses yg sama, iaitu daya usaha. Seseorang yg tidak mempunyai daya usaha tidak menghasilkan kejayaan mahupun kegagalan.
Mana-mana daya usaha yg menghasilkan kejayaan, ia juga dapat menghasilkan kegagalan. Tanpa daya usaha, tidak akan berlaku apa-apa, sama ada yg betul mahupun yg salah; baik kejayaan mahupun kegagalan.
Meskipun perkara ini benar, namun ramai orang tidak dapat menerima kesalahan dan kegagalan dengan hati terbuka. Mereka menyediakan dua jenis insentif, satu untuk mendorong kejayaan, dan satu lagi untuk mencegah kegagalan. Bagi setiap kejayaan disediakan intensif positif seperti hadiah dan pengiktirafan. Bagi setiap kegagalan disediakan intensif seperti hukuman dan tiada pengiktirafan.
Orang yg tidak cuba melakukan apa-apa yg baru tidak menghadapi risiko. Kalau anda seorang kerani, dan anda terus membuat kerja-kerja perkeranian anda sekarang, anda tidak menghadapi risiko, sebab anda sudah mahir membuat kerja-kerja itu. Tetapi jika anda cuba menukar kerjaya anda, daripada seorang kerani kepada seorang jurujual, anda sudah pasti menghadapi risiko, disebabkan tugas-tugas kejurujualan adalah pekara baru bagi anda.
Keupayaan berfikir secara kreatif adalah penting untuk menjadi orang yg berjaya. Sebagai seorang jurujual, pendapatan anda tidak ada batasnya. Bukan seperti seorang kerani, dimana gaji anda sudah ditetapkan dari awal lagi oleh majikan anda. Sebaliknya pendapatan anda sebagai jurujual tidak pernah ditetapkan. Semakin banyak jualan anda semakin tinggi pendapatan anda. Untuk menjadi jurujual yg berjaya, anda perlu mencari cara-cara baru untuk membuat lebih banyak jualan. Ertinya seorang jurujual wajib memiliki daya kreatif. Ertinya anda mencuba mencuba dan mencuba.
Sesetengah orang takut mencuba perkara-perkara baru dan idea-idea baru disebabkan mereka takut menghadapi risiko kegagalan. Ingatlah, Thomas Edison melakukan lebih daripada dua ribu kegagalan sepanjang usahanya mencipta mentol elektrik.
Kajian-kajian yg dibuat oleh pakar-pakar psikologi mendapati salah satu ciri peribadi yg ketara pada orang yang kreatif ialah sifat sangat tabah dan cekal menghadapi kegagalan demi kegagalan serta sifat tekun berusaha. Apabila mereka menghadapi masalah yang sukar diselesaikan mereka menunjukkan sifat positif terhadap masalah tersebut.
Kesilapan ialah anak tangga kegagalan. Kesilapan mempunyai fungsi produktif. Dengan mengetahui apa-apa yang silap, kita dapat mendekatkan diri kepada apa yang betul. Demikianlah apa yg terjadi kepada Thomas Edison. Setiap ujikaji yg gagal bermakna dia semakin hampir kepada kejayaan. Ketabahan dan kecekalan untuk mengalami lebih dua ribu kegagalan bukanlah sifat yg ada pada orang biasa. Dan orang-orang kreatif memang bukan orang biasa.
Sifat tabah dan cekal tidak timbul sendiri. Ia adalah hasil daripada proses mengalami kegagalan. Orang yg belum pernah berulang-ulang kali gagal tidak ada latihan untuk menimbulkan sifat-sifat tabah dan cekal. Jumlah kesilapan yg kita buat ditentukan oleh berapa kali kita mencuba sesuatu. Semakin banyak kali kita mencuba, semakin banyak peluang kita mencipta kesilapan, dengan itu juga kegagalan, barulah akan muncul sifat tabah dan cekal dalam diri kita. Inilah asas praktikal daya usaha kreatif.
Setiap kali kita mengelakkan risiko, itu bermakna kita memilih apa yg tebukti selamat. Itu bermakna kita hanya ikut sahaja apa yg orang lain sudah buat. Ia bermakna kita mengulang kebiasaan. Orang yg bekerja dengan cara ini adalah orang yg mahir dan cekap bekerja, tetapi mereka tidak kreatif. Mereka cekap membuat lebih banyak perkara-perkara yg sama.
Suatu perkara lain yg membuat kita selalu sahaja memilih jalan selamat ialah ciri personality kita. Ramai orang memang tidak memiliki ciri-ciri berani berhadapan dengan risiko. Memang mereka takut menghadapi apa jua bentuk risiko.
Orang yg berani mencipta idea-idea baru sentiasa berhadapan dengan pelbagai risiko, antaranya termasuklah kerugian kewangan, dicemuh, diejek ataupun disisihkan drpd kumpulan. Tidak ramai orang yg memiliki ketabahan untuk melalui pengalaman sebegitu.
ps : Dipetik drpd buku Mendorong Diri Sendiri tulisan Ainon Mohd & Abdullah Hassan
Posted by usah-jemu-menuntut-ilmu at 7:25 AM 0 comments
Thursday, May 8, 2008
Bagaimana Cara Anda Berfikir ?
Berfikir Analitikal
Oleh DR. SIDEK BABA
BERFIKIR analitikal adalah suatu kemahiran memberi analisis terhadap kenyataan, pemikiran, tulisan, laporan dan sebab-akibat berlakunya sesuatu. Bila berlaku sesuatu kejadian, kisah dan peristiwa, krisis dan malapetaka, kejayaan dan kecemerlangan, ia menuntut adanya analisis.
Dengan adanya analisis ia memandu seseorang tentang perkara-perkara yang tersirat dan juga tersurat yang kadang-kadang di luar kemampuan orang biasa untuk memahaminya. Berfikir analitikal bertolak daripada asas logik dan mampu meyakinkan seseorang dengan fakta dan data serta hujah-hujah yang menggambarkan sesuatu itu benar atau seolah-olah benar.
Para remaja sejak di bangku sekolah lagi memang diajar berfikir analitikal. Pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Kertas Am, umpamanya, memang mengajar para pelajar bagaimana seharusnya berfikiran analitikal. Apabila cara berfikir analitikal sudah dikuasai sebagai suatu kemahiran, maka para remaja mampu menganalisis isu yang berbangkit. Isu-isu yang berbangkit perlu didekati dengan analisis. Analisis yang dibuat memerlukan hujah, fakta dan data supaya ia boleh meyakinkan seseorang. Berfikir analitikal akan membantu remaja berfikir secara sistematik, teratur, tersusun dengan fakta, maklumat dan data yang baik.
Berfikir analitikal memerlukan ilmu dan maklumat. Tanpa sumber-sumber asas ini analisis tidak akan bermaya malah boleh menjadi tidak logik dan kurang meyakinkan orang lain. Analisis terhadap sesuatu perkara memerlukan dua jenis ilmu.
Pertama, ilmu yang generik atau umum. Kedua, ilmu khusus yang membawa kepada kepakaran dan pengkhususan terhadap sesuatu subjek. Analisis yang umum membawa pendekatan umum dan ia tertakluk kepada bahasan dan penghujahan pihak lain.
Analisis yang khusus berdasarkan kepakaran dan keahlian jauh lebih dihormati kerana asas keahlian menyebabkan kebolehpercayaan wujud. Tetapi lebih ideal sekiranya seseorang itu memiliki ilmu yang generik dan pada masa yang sama mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu yang menyebabkan analisisnya menjadi lebih holistik.
Dalam tradisi Islam, berfikir analitikal adalah sesuatu yang dianjurkan. Sebab itu dunia taawil dan tafsir di kalangan umat Islam amat berkembang. Al-Quran terkandung prinsip-prinsip khusus dan umum yang memerlukan pendekatan taawil dan tafsir. Landasan kemajuan masa lalu disebabkan para ilmuan dan ulamanya berfikir secara analitikal. Analisis tentang ayat diberi secara panjang lebar, dikaitkan dengan dengan sumber-sumbernya dan dihubungkan dengan realiti semasa. Al-Quran bukan bersifat tekstual atau kitab saja, kandungannya merujuk kepada kontekstualiti atau keadaan yang sebenar.
Berfikir analitikal yang dikaitkan dengan al-Quran merujuk kepada kisah-kisah yang banyak terakam. Kisah-kisah itu menjadi ibrah untuk mempedomankan manusia tentang apa yang berlaku pada masa lalu yang bakal berulang semula pada hari ini dan berulang kembali pada masa depan.
Analisis kisah diberi supaya manusia hari ini jangan mengulangi kesilapan masa lalu. Berfikir analitikal memperingatkan manusia supaya terus kekal dan kembali semula kepada fitrah. Tanpa asas fitrah, manusia akan hilang pedoman dan arah. Kehilangan pedoman dan arah menyebabkan manusia menjadi keliru dan celaru.
Para remaja hari ini amat terdedah dengan kehidupan yang berorientasikan Barat. Kita tidak menentang Barat semata-mata kerana ia Barat. Dari sudut penguasaan ilmu dan teknologi, Barat amat cemerlang. Ada faedah-faedah berbanding yang boleh remaja dapati dari Barat. Tetapi apabila proses pembaratan menganjurkan remaja alpa kepada akhlak dan nilai mulia, menyanjung budaya seronok-seronok dan bertunjangkan benda, remaja harus analitikal yang mana satu yang bermanfaat dan yang mana satu boleh menjejaskan akidah, jati diri dan akhlak. Berfikir analitikal boleh membawa remaja ke arah menyaring yang baik dengan buruk, mengenal pasti yang berfaedah dan yang mendatangkan musibah dan akhirnya memandu remaja supaya jangan melampau batas sehingga lupa terhadap diri, tanggungjawab keagamaan dan amanah perjuangan.
Pemikiran
Sering juga kita bertemu sebahagian remaja yang tidak berfikir besar, hebat dan analitikal. Pemikiran yang berkembang ialah berbentuk picisan, lawak dan jenaka yang tidak bermutu, tidak diberi atas asas fakta dan data malah membuat kesimpulan terhadap sesuatu berasaskan sangkaan atau pendapat yang rendah mutunya. Bahan-bahan yang dibaca adalah amat ringan dan ia tidak meningkatkan kualiti ilmu dan berfikir. Bila bercakap, idea-idea bernas tidak ada melainkan bercakap ikut emosi dalam skop yang sempit.
Untuk menjadi remaja yang memiliki kualiti berfikir yang analitikal, remaja perlu banyak membaca bahan berkualiti sama ada daripada akhbar, majalah mahupun buku. Remaja kena banyak berbincang atas tajuk-tajuk yang ia tahu dan kena banyak mendengar isu-isu yang ia tidak tahu. Remaja yang analitikal tidak hanya membaca dan menerima apa yang dibaca. Sebelum sesuatu fakta dan data diterima, remaja berfikir secara analitikal dulu tentang kualiti tidaknya sesuatu pandangan. Kemudian mereka kena cuba memikirkan sesuatu yang lebih baik atau merujuk sumber-sumber yang boleh memberi jawapan yang lebih tepat dan akhirnya membuat kesimpulan selepas analisis berlaku.
Cara begini boleh meningkatkan kualiti berfikir para remaja kerana sesuatu yang datang tidak hanya diterima bulat-bulat melainkan selepas melalui proses analisis yang baik.
Maklumat dalam Islam adalah maklumat yang benar. Sandaran kepada pemikiran yang analitikal boleh membimbing remaja ke arah kebenaran. Al-Quran adalah perkhabaran dari langit yang terkandung hikmah bagi mereka yang berfikir.
Apa yang dirakamkan dalam al-Quran memerlukan daya tafsir dan taawil yang baik. Daripadanya remaja akan mendapat saripati ilmu kerana menerusi pemikiran analitikal sumber daripada Allah itu akan memimpin pemikiran remaja ke arah yang lebih bermakna.
Contohnya, secara analitikal proses perubahan, pembangunan dan kemajuan yang berlaku terhadap umat manusia bukanlah sesuatu yang baru. Sejak dulu lagi tamadun lahir, peradaban wujud. Al-Quran merakamkan kisah Firaun dan Nabi Musa dalam perspektif yang amat menarik. Firaun mengaku dirinya Tuhan dan memiliki kuasa yang tidak terbatas.
Dipaksa
Lalu orang-orang di bawah kekuasaannya dipaksa tunduk dan sesiapa yang bangkit melawan akan dihapuskan dengan zalim. Watak Nabi Musa amat menarik untuk dianalisis. Bagaimana Nabi Musa mendekati Firaun dengan bahasa yang lembut dalam siri dakwahnya yang amat bijaksana. Akhirnya kesombongan Firaun itu menemui padah apabila dia tenggelam, hanyut dan terapung di Laut Merah. Ini patut menjadi iktibar.
Secara analitikal kisah ini menggambarkan pada setiap zaman akan ada manusia yang mengaku dirinya Tuhan. Atau berlagak seumpama kuasa yang amat berkuasa.
Akhirnya watak-watak seperti ini akan menemui kehancuran dan musibah daripada Allah di atas perbuatannya. Berfikir analitikal dalam konteks al-Quran membawa para remaja sentiasa sedar dan menginsafi bahawa kisah-kisah dalam al-Quran terkandung hikmah, rahsia dan pengajaran yang amat mulia.
Berfikir analitikal secara Qurani boleh membimbing remaja ke arah pemahaman yang lebih jelas dan benar terhadap apa saja yang berlaku. Kejadian sesuatu perkara di samping sebab-akibat yang terfikir oleh manusia banyak juga yang berlaku di luar kemampuan manusia memikirkannya.
Berfikir analitikal tidak saja menghubungkan sesuatu kejadian kerana faktor alam dan manusia. Banyak juga kejadian yang berlaku bersebab daripada takdir Allah.
Asas ini penting bagi remaja supaya sandaran tentang qada dan qadar bukanlah datangnya daripada manusia. Ia datangnya daripada yang Maha Perkasa dan Berkuasa. Manusia boleh merancang tetapi Allah Maha Pentakdir.
Berfikir analitikal Qurani boleh memberi keseimbangan dalam melihat sesuatu perspektif peristiwa, kejadian dan perlakuan. Ini kerana remaja boleh mengalami kebuntuan berfikir jika faktor manusiawi tidak menjadi jawapan yang tepat tentang berlakunya sesuatu melainkan remaja dapat menghubungkan faktor manusia bersama-sama dengan faktor Ilahi. Ini menjadikan remaja yakin terhadap kuasa dan ketentuan Allah s.w.t..
PROF DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak.
Berfikir Cara Reflektif.
Oleh DR. SIDEK BABA
BERFIKIR reflektif banyak menghubungkan apa yang telah berlaku untuk dijadikan iktibar dan teladan. Berfikir reflektif ibarat melihat cermin dan dari situ terlihat banyak benda untuk dijadikan pedoman dan garis panduan. Seorang pemandu kereta apabila ingin berjalan ke hadapan harus melihat cermin sisi dan belakang supaya ia mendapat pedoman untuk bergerak ke hadapan. Berfikir reflektif tidak sekadar melihat apa yang ada di belakang atau di sisi tetapi ia sebagai asas pedoman melihat hari ini dan masa depan.
Para remaja merupakan kelompok yang terbaik dilatih dan diasuh berfikir secara reflektif. Dengan potensi yang sedang subur dan bakat untuk maju adalah tinggi, remaja harus berfikir reflektif untuk berubah dan bersedia menghadapi cabaran. Tidak mungkin para remaja mampu menghadapi cabaran hari depan tanpa menoleh ke belakang bagi meneliti perjalanan sejarah, jejak-jejak kemajuan dan perubahan supaya langkah hari depan di pedoman dengan pencapaian dan kegagalan pada masa yang lalu.
Asas-asas reflektif yang perlu ada pada remaja ialah mengetahui sejarah bangsa dan umat. Ia penting kerana sejarah boleh mengulangi jejak. Apa yang berlaku pada masa yang lalu boleh kembali semula pada masa kini dan masa depan. Yang berlaku pada masa lalu lazimnya serupa apa yang berlaku pada masa ini dan masa depan. Bezanya ialah cara sesuatu itu berlaku dan kesannya terhadap kehidupan manusia. Contohnya, ilmu pengetahuan dan pendidikan berlaku sejak awal kejadian manusia. Nabi Adam mempelajari sesuatu daripada Allah untuk mengetahui sesuatu di sekelilingnya . Darinya Nabi Adam dan Hawa mendapat pedoman bagaimana untuk hidup dan berinteraksi dengan yang lain. Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu juga membawa risalah kebenaran tentang Allah kepada kaum dan umatnya. Ada yang menerima dan ada yang menolak. Pada hari ini Nabi Muhammad tidak ada dan ajarannya terus disampaikan kepada manusia. Ada yang menerima dan ada yang menolak.
Nabi Muhammad s.a.w. pada zamannya membina asas tamadun. Madinah dijadikan asas model bagaimana seharusnya Islam tegak dan beroperasi. Model itu dikembangkan oleh para sahabat, tabien dan solaf al soleh sehingga tercetusnya perubahan dan kemajuan. Dalam siri kebangkitan zaman Umayyah, Abassiyah, Andalusia dan Othmaniah, kita menyaksikan sejarah kebangkitan dan kemerosotan tamadun Islam. Berfikir reflektif tidak saja meneliti faktor-faktor yang memperkasa tamadun tetapi yang menyebabkan tamadun itu runtuh. Dengan cara itu para remaja akan mengetahui sebab-musabab berlaku sesuatu dan mengambil iktibar.
Renungan
Al-Quran terkandung kisah-kisah tentang kehidupan dan peristiwa yang di lalui oleh manusia pada masa yang lalu. Tentu ada sebab mengapa kisah-kisah itu dipaparkan kepada manusia yang berfikir. Berfikir reflektif menjadikan kisah itu sebagai ibrah atau sumber renungan, pemikiran dan teladan. Apa yang dilakukan oleh manusia pada hari ini bukanlah sesuatu yang baru atau tidak pernah ada pada masa yang lalu. Kegilaan manusia kepada kuasa, pangkat, darjat, hawa nafsu dan benda hingga lupakan diri dan melampaui batas berlaku pada masa yang lalu, diulangi kembali pada hari ini dan bakal terjadi pada masa depan. Kebaikan pada masa yang lalu akan terus diulangi sekiranya pedoman kebaikan itu dirasakan di kalangan mereka yang berfikir refklektif.
Berfikir reflektif adalah penting untuk membangunkan bangsa dan umat. Pada umat Melayu terhimpun khazanah silam yang boleh memberikan kesan reflektif terhadap jatuh bangun bangsanya. Kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah umpamanya walaupun terkandung fakta dan mitos tetap terkandung elemen-elemen reflektif untuk renungan dan iktibar generasi terkemudian. Kisah Peminangan Puteri Gunung Ledang, walaupun dianggap mitos tetapi ia terkandung makna dan simbol tentang bagaimana nafsu serakah Raja Melayu terhadap kuasa dan cita-cita. Apabila nafsu bermaharajalela tunggulah kehancuran muncul. Apabila rakyat dijadikan hamba abdi dan nilai kemanusiaan hilang, berlakulah penjajahan terhadap bangsa dan negara.
Mitos ini boleh berlaku pada masa yang lalu dan berlaku pada masa kini dan boleh berlaku pada masa depan. Berfikir reflektif membolehkan remaja menganalisis sebab runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka. Sejarah Melayu mengisahkan bagaimana di puncak kehebatan Melayu terdapat lapan puluh empat dialek atau bahasa diucapkan di pelabuhan atau di bazar-bazar di kota Melaka. Ia membayangkan majunya perdagangan di Melaka. Secara reflektif ia menunjukkan bahawa pentingnya kegiatan dagang dan membangunkan hubungan antarabangsa untuk maju.
Rasulullah s.a.w. pada zaman mudanya juga suka berniaga sehingga ke Yaman dan Syria. Baginda juga menyebutkan bahawa sembilan persepuluh sumber rezeki ialah dalam perniagaan. Para remaja harus reflektif bagaimana para pendakwah pada masa yang lalu ramai yang terdiri di kalangan pedagang-pedagang yang hebat. Dan bagaimana hari ini umat Islam lemah dan terpinggir kerana penglibatannya dalam dunia dagang amat kecil. Perhatikan bagaimana kuasa-kuasa Barat menguasai umat Islam dengan agenda multi-nasionalnya dan menguasai dunia dagang di negara orang-orang Islam.
Berfikir reflektif yang didorong dengan keinsafan mendalam tentang pra syarat untuk maju harus mendorong para remaja insaf tentang diri dan hari depan. Berfikir reflektif boleh mendorong remaja berfikir tentang baik-buruk sesuatu, tahu batasan boleh dan tidak boleh dan sering mengaitkan kisah dan peristiwa lalu sebagai jalan berfikir yang terbaik.
Remaja Islam dalam proses pembangunan minda dan kesedaran diri harus dekat dengan al-Quran sebagai pembekal kisah-kisah manusia masa lalu untuk dijadikan ibrah. Kedua, jadikan sirah perjuangan Nabi sebagai sumber sejarah dan sunah Nabi sebagai sumber ikutan. Ketiga bagaimana berfikir reflektif menjadikan kita berubah dan maju kerana apa yang berlaku pada masa lalu dalam banyak hal adalah sesuai dengan zamannya. Apa yang berlaku pada masa kini memerlukan pendekatan masa kini. Walaupun pendekatannya mungkin berbeza tetapi isu yang dihadapi tetap sama. Oleh itu berfikir reflektif membawa remaja kepada prinsip-prinsip yang Islami dan Qurani mampu diolah dengan metodologi kini tanpa menjejas kepentingan syarak yang menjadi pedoman utama umat Islam. Keempat bagaimana kemajuan yang ada pada umat dapat dipertahankan supaya umat Islam menjadi model yang terbaik untuk umat manusia.
Secara reflektif para remaja harus menginsafi bahawa tanpa asas ini, tidak mungkin umat Islam mampu memimpin dirinya apa lagi memimpin umat manusia. Sebaliknya kita akan dipimpin oleh mereka, dengan cara mereka dan akhirnya umat Islam akan menjadi sebahagian daripada mereka.
- PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Oleh DR. SIDEK BABA
Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA.fe
Posted by usah-jemu-menuntut-ilmu at 6:27 PM 0 comments
Berbahasa Dalam Telefon
04 January 2006
Menggunakan telefon sudah menjadi keperluan dalam kehidupan masyarakat kita masa kini. Kita menggunakan telefon untuk menghubungi seseorang, bertanya khabar, mendapat keterangan lanjut berkenaan sesuatu, menyampaikan pesan, memohon pertolongan, mendapatkan keterangan, memberi arahan dan banyak sebab lagi.
Ada di antara remaja yang gugup dan agak tidak selesa apabila bercakap di telefon terutamanya apabila terpaksa menggunakan bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Ada pula remaja yang berasa kekok apabila berbual di telefon. Kebimbangan adalah pada peringkat permulaan sahaja. Kebimbangan dan kegugupan yang dimiliki sekarang perlu dihapuskan bagi membina budaya cemerlang semasa berkomunikasi dalam kehidupan.
Apa yang perlu dibuat adalah dengan mengubah kebiasaan lama kepada amalan baru yang bermula dengan kemahiran berbahasa yang biasa tetapi ditambah sedikit dengan kelembutan dan kesopanan berbahasa. Etika berbual di telefon perlu dikuasai oleh setiap remaja, kerana dunia komunikasi akan datang lebih banyak melibatkan penggunaan alat komunikasi canggih yang melibatkan telefon.
Etika pertama yang perlu diamalkan semasa berbicara di telefon walau dengan sesiapa pun kita berbicara adalah kesopanan dan kelembutan daripada segi pilihan perkataan, nada suara dan susunan ayat yang ringkas, padat dan jelas.
Etika kedua, bercakaplah dengan sebutan yang jelas, tenang dan teratur. Ini kerana kita tidak boleh bergantung pada cara, gaya atau aksi fizikal, seperti mimik muka dan gerak tangan untuk membantu penjelasan maksud percakapan kita, sebagaimana semasa kita berbual dalam keadaan bersua muka. Untuk membolehkan kita berbuat demikian adalah digalakkan anda mendapat tempat duduk yang selesa semasa mahu membuat panggilan dan semasa menerima panggilan. Keadaan duduk yang selesa memudahkan kita membina ketenteraman perasaan dan saraf.
Etika ketiga, kita perlu bercakap sejelas-jelasnya perkara yang hendak disampaikan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah pengertian. Percakapan yang jelas boleh dibina dengan cara, kita tidak bercakap terlalu laju. Perbualan yang perlahan memudahkan pendengaran dan pentafsiran tanpa perlu membuat pengulangan berkali-kali.
Etika keempat, kita perlu juga mendengar dengan teliti serta cuba memahami secepat mungkin apa yang diperkatakan atau yang diarahkan. Dengan perkataan lain kalau anda sebagai pemanggil adalah baik mengucapkan ucapan selamat sebagai permulaan perbualan. Kemudian memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan dan hasrat anda membuat panggilan. Jangan membiarkan penerima panggilan meneka-neka maksud atau tujuan panggilan anda. Apabila anda ingin bercakap dengan orang-orang tertentu, maka tanyalah terus nama orang berkenaan.
Apabila anda memanggil kawan atau sahabat anda di rumah, anda boleh menyatakan begini, "Hello, selamat petang, saya Azmi dari Kelang, boleh saya bercakap dengan Rohaya sekejap?" Tetapi jika anda menghubungi seseorang di sesebuah syarikat besar atau jabatan kerajaan, anda perlu meminta nama jabatan atau bahagian di mana orang itu ditugaskan terlebih dahulu. Kemudian apabila anda telah dihubungkan dengan orang di jabatan berkenaan, maka barulah anda bertanyakan nama orang yang ingin dihubungi. Perlu diperhatikan semua institusi perdagangan akan menjawab panggilan anda dengan mereka menyatakan nama syarikat dan diikuti dengan pertanyaan, "Boleh kami bantu encik?", atau dengan bertanya, "Bagaimana kami boleh membantu saudari?"
Apabila anda membuat panggilan ke rumah dan ada orang yang menjawab dengan jawapan "Hello!" diikuti dengan pertanyaan untuk mengesahkan rumah kediaman yang dikehendaki, seperti soalan, "Ini rumah Tuan Pegawai Daerah." Ada pula yang akan menjawab dengan menyebut, "Saya Aman di sini" atau "Encik Aman bercakap."
Beberapa peraturan umum yang digunakan dalam perbualan di telefon seperti:
1. Menggunakan perkataan "Boleh saya bercakap dengan...", "Ini ibunya membuat panggilan ..." atau "Saya bercadang untuk bercakap dengan Encik Azmi."
2. Perbualan seperti "Cik Rohaya ada" atau "Cik Rohaya di sini ..." adalah perbualan berbentuk tidak formal.
Posted by usah-jemu-menuntut-ilmu at 9:31 AM 0 comments


